I made this widget at MyFlashFetish.com.

Sunday 22 May 2011

KHAS: YAMAHA ONE MAKE RACE KEMBALI(Yamaha Ego Lc)


20 Mei 2011




Lebih banyak kemeriahan menanti dalam perlumbaan motosikal terbesar di Malaysia apabila siri perlumbaan satu pengeluar Yamaha bakal kembali pada Pusingan 4 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2011 yang akan berlangsung di Presint 3, Putrajaya pada 28 dan 29 Mei ini.

Menggantikan model Yamaha 135 LC yang digunakan tahun lalu, perlumbaan musim ini akan menggunakan jentera baru Yamaha Ego LC yang mempunyai kuasa enjin lebih rendah 125cc dan menggunakan sistem transmisi gear automatik. Ini sekaligus membawa perubahan kepada nama kategori tersebut yang kini dikenali sebagai Piala Yamaha EgoLC PETRONAS.

Bertindak sebagai landasan untuk mengetengahkan bakat-bakat baru, musim 2011 akan menyaksikan 20 pelumba muda berusia di antara 13 higga 17 tahun mengharungi saingan tujuh pusingan ini. Kebanyakan mereka tidak mempunyai sebarang pengalaman beraksi di Cub Prix.

Antara pelumba ternama yang lahir daripada kategori ini adalah juara CP130 paling muda, Hafizh Syahrin Abdullah(PETRONAS Syntium Moto Yamaha Raceline) yang kini beraksi dalam kategori SuperSports 600cc di Kejuaraan Motosikal Asia PETRONAS (ARRC), Juara Keseluruhan CP115 2010, Mohd Ramdan Mohd Rosli (PETRONAS Syntium Moto Yamaha AHM), pasangan Motul Yamaha YY Pang, Mohd Azhar Abdul Jalil dan Mohd Adib Rosley serta Juara Cabaran Yamaha 135LC musim lalu, Tengku Amirul Haffiruddin.

Pengurus Promosi dan Sukan Pemotoran Hong Leong Yamaha Motor Sdn Bhd, Melvin Tan menjelaskan tentang harapan dan jangkaannya musim ini.

"Tujuan kami masih tetap seperti musim-musim lepas, iaitu  menyediakan landasan dan memberikan sokongan kepada pelumba baru untuk melibatkan diri dalam Cub Prix. Setakat ini kami mempunyai seramai 20 pelumba di mana 80 peratus daripadanya merupakan muka baru yang ditemui pengurus-pengurus pasukan Yamaha melalui perlumbaan pocket bike tempatan manakala selebihnya merupakan pelumba sedia ada yang tidak berupaya untuk beraksi dalam kelas yang lebih tinggi berikutan masalah kos yang tinggi.

"Saya cukup pasti saingan musim ini akan lebih menarik lagi kerana para remaja ini cukup kompetitif."

Apabila ditanya samada jentera baru yang menggunakan transmisi gear automatik serta kuasa enjin yang lebih rendah akan menjejaskan kualtiti perlumba yang dihasilkan, Melvin berkata, "Sudah tentu kemahiran menggunakan gear amat penting dalam perlumbaan namun menggunakan jentera automatik seperti ini turut mempunyai kelebihannya. Sebagai contoh, pelumba-pelumba akan memberi tumpuan untuk mengawal kelajuan, menggunakan brek, dan meningkatkan kemahiran tunggangan mereka dengan mengetepikan dahulu aspek penggunaan gear," katanya.


Senarai peserta Piala Yamaha EgoLC PETRONAS

1. Muhd Izrul Huzaime b Amrau
2. Muhd Izrul Huzairie b Amrau
3. Mohd Akmaralif b. Azman
4. Muhd Faris Akmal b. Azri
5. Shahrul b. Supaimi
6. Muhd Amirul b. Rasul
7. Muhd Shafiq b . Rasul
8. Mohd Syazwan b. Fazli
9. Mohd Khairil b. Baharuddin
10. Shahrul Azzuwan b. Mohd Noor
11. Muhd Nur Afiq b. Anuar
12. Muhd Izzat Iman b. Rosdi
13. Ahmad Syukran Aizat b. Mohd Yusof
14. Nor Edrin Izurin b. Nor Asmara
15. Mohd Izzat b. Mohd Zaki
16. Mohd Mu'izz Al- Atrash b. Mohd Ghani
17. Mohd Nasri b. Mohd Ishak
18. Muhd Hafiz b. Norsuhaimi
19. Afiq Hanafi b. Ismail Tahalus
20. Mohd Shariman b. Hashim

CABARAN BARU MENANTI DI PUTRAJAYA


19 Mei 2011



Pasukan serta para pelumba tidak sabar menghadapi Pusingan 4 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2011 yang dijadualkan berlangsung di Presint 3, Putrajaya pada 28 dan 29 Mei ini seiring dengan sambutan Hari Belia Negara.

Pusingan ini dijangka akan menghadirkan lebih banyak cabaran buat pelumba apabila akan berlangsung di litar asing sepanjang 1,146.4 meter yang mempunyai tiga selekoh kiri, empat selekoh kanan, satu pusingan-U dan lapan laluan lurus dengan laluan terpanjang sejauh 347 meter.

Pengarah Promosi SAM, Ron Hogg ketika menjelaskan tentang pusingan yang akan datang berkata, "Ini merupakan kali pertama kontinjen Cub Prix beraksi di Putrajaya dan pelbagai kemungkinan boleh berlaku nanti, terutama buat pasukan-pasukan dan pelumba-pelumba yang berpusat di Kuala Lumpur ataupun Selangor.

"Tiga pusingan telah berlalu setakat ini dan kita telah melihat tiga pemenang yang berbeza dalam kategori CP130. Mohd Ramdan Mohd Rosli (PETRONAS Syntium Moto Yamaha AHM) menguasai pusingan pembukaan di Kangar, diikuti Ahmad Fazli Sham (Pennzoil Fastrac Racing) di Batu Kawan manakala Azlan Shah Kamaruzaman (Harian Metro TEQ SCK Honda Racing) memenangi pusingan di Kuala Terengganu baru-baru ini. Dengan keputusan tersebut, saya pasti Pusingan 4 pasti lebih menarik bukan hanya kepada peminat setia Cub Prix tetapi juga buat pasukan-pasukan bertanding."

Pada ketika ini pelumba berusia 20 tahun, Abdul Muhaimin Roslan (Yamaha Maju Motor Racing) mendahului kedudukan keseluruhan CP130 dengan 44 mata diikuti pelumba berusia 16 tahun, Mohd Zaqhwan Zaidy (Pachie Yuzy Honda Racing) dengan 37 mata dan Fazli di kedudukan ketiga ketinggalan satu mata daripada Zaqhwan (36 mata).

Ron menambah, "Saya percaya suasana pusingan akan datang amat mencabar kerana kesemua 150 pelumba ini tidak pernah beraksi di sini. Apa yang boleh mereka lakukan kini adalah mengkaji dan menganalisis litar dan hanya pada hari Sabtu minggu hadapan mereka akan dapat rasakan beraksi di sana. Pelumba veteran mungkin mempunyai sedikit kelebihan kerana mereka mempunyai pengalaman namun, masih terlalu awal untuk kita membuat sebarang andaian. Bagi saya, pelumba-pelumba yang cepat menyesuaikan diri dan berjaya mendapatkan pelarasan jentera yang tepat akan mempunyai kelebihan di litar ini nanti," katanya.

Ron turut berharap agar ramai pengunjung akan hadir untuk memeriahkan suasana. "Ini merupakan kali pertama Cub Prix berlangsung berhampiran dengan bandar-bandar besar di Lembah Klang. Sebelum ini, ia hanya berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang dan tidak ramai dapat hadir memandangkan kedudukannya yang agak jauh. Memandangkan kali ini ia berdekatan dengan bandar-bandar utama dan dilangsungkan bersama-sama dengan Hari Belia Negara, kami berharap lebih ramai peminat dapat hadir menyaksikan perlumbaan jentera dua roda terulung dalam negara ini sepertimana kejayaannya di lokasi-lokasi Cub Prix yang lain.

"Selain daripada menyaksikan perlumbaan, peminat-peminat boleh berkunjung ke bahagian promosi yang bermula pada hari Sabtu (28 Mei). Pelbagai aktiviti menarik disediakan untuk pengunjung-pengunjung. Antaranya pandu uji jentera, pameran motosikal, sesi fotografi, sesi karaoke dan pelbagai permainan yang menarik.

Selain itu pengunjung-pengunjung juga boleh mendapatkan pelbagai barangan dan cenderamata Cub Prix pada harga yang menarik," jelas Ron.

Friday 6 May 2011

Tiada Rehat Buat Pelumba Cubprix



Pusingan pembuka tirai Kejuaraan Motosikal Asia PETRONAS (ARRC) baru sahaja berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang minggu lalu namun para-pelumba tidak boleh berehat panjang memandangkan Pusingan 3 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS akan berlangsung di Stadium Sultan Mizan Gong Badak, Kuala Terengganu kini menghampiri pada 13 dan 14 Mei ini.

Mohd Rozaliman Zakaria (ZAR Racing Motorsports), Shahril Izzuwan Mohd Noor (PETRONAS Syntium Moto Yamaha AHM) dan Mohd Amirul Musa (Pachie Yuzy Honda Racing) pastinya lebih bermotivasi kali ini setelah mencipta kejayaan di ARRC menguasai pentas podium kategori Underbone 115cc manakala pelumba-pelumba yang beraksi baik dalam perlumbaan sokongan (Cabaran Bawah 17 dan Pengeluar Tempatan 135cc) turut berada pada tahap serupa.

Pengarah Promosi Safe Aim Mutual Sdn Bhd (SAM), Ron Hogg berkata keputusan yang diperolehi pelumba dan pasukan tempatan pasti akan menambahkan keyakinan mereka untuk menghadapi pusingan akan datang di Kuala Terengganu. 

"Kejuaraan masih di peringkat awal lagi dan Pusingan 3 kali ini akan bergerak ke pantai timur tanah air. Pelumba-pelumba yang bakal beraksi dalam kategori CP130, CP115 dan Wira sudah pasti mahu menebus kegagalan mereka dan mengutip seberapa banyak mata yang mampu. 

"Bagi mereka yang mengambil bahagian di PETRONAS ARRC dan mencapai keputusan yang baik pasti mempunyai sedikit kelebihan memandangkan kejayaan yang dicapai itu akan menyumbang kepada peningkatan tahap keyakinan diri dan kekuatan mental mereka," kata Ron.

Ron turut menambah, "Keyakinan diri di kalangan para pelumba merupakan antara faktor penting kepada kejayaan mereka. Apabila pelumba berada pada keadaan terbaik, mereka mampu untuk mencapai keputusan yang diinginkan dan tidak ada apa yang mampu menyekat prestasi mereka. 

"Saya berharap semua pelumba yang mengambil bahagian di ARRC dapat menimba banyak pengalaman terutama dari aspek-aspek strategi dan teknik tunggangan di mana mereka dapat mempraktikkan apa yang telah mereka pelajari ke dalam Cub Prix," jelas Ron.

Pada ketika ini, Ahmad Fazli Sham (Pennzoil Fastrac Racing)  sedang mendahului kedudukan keseluruhan CP130  dengan mengutip 33 mata, diikuti Abdul Muhaimin Roslan (Yamaha Maju Motor Racing) dengan 31 mata dan  Mohd Zaqhwan Zaidi (Pachie Yuzy Honda Racing)ketiga, 26 mata.

Dalam kategori CP115, Zaidy Mohd Zaifaizal (Motul Yamaha YY Pang) sedang mendahului kedudkan keseluruhan dengan mengumpul 41 mata diikuti Shahril kedua (35 mata) dan ketiga adalah rakan pasukan Zaidy, Adli yang mengumpul 31 nata.

Bagi kategori Wira Bawah-17, Zulsyafiz Rosli (MOS Malaysia Racing) mendahului pelumba-pelumba lain dengan 41 mata diikuti Fariznazreen (Motul Yamaha YY Pang) dan Mohd Izzat Zaidi Mohd Salehan di kedudukan kedua dan ketiga dengan 40 dan 26 mata masing-masing.

Thursday 5 May 2011

YAMAHA CKJ SUKIMI IDAM PODIUM DI GELANGGANG SENDIRI





6 Mei 2011



Yamaha CKJ Sukimi mahu menamatkan penantian kemarau podium mereka pada Pusingan 3 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2011 yang bakal berlangsung di gelanggang sendiri di Stadium Sultan Mizan Gong Badak, Kuala Terengganu, 13 dan 14 Mei ini.

Pengurus pasukan, Mohd Azmi Mansor berkata Pusingan 3 ini akan menjadi medan kebangkitan pasukan tersebut memandangkan kebanyakan masalah yang dialami sebelum ini di Kangar (Pusingan 1) dan Batu Kawan (Pusingan 2) telahpun diselesaikan.

Tambahan pula, pelumba CP115, Mohd Syawalludin Mohd Zaki serta pelumba Wira, Ahmad Afif Amran dan Che Ku Amriq Asyraff bermotivasi tinggi memandangkan beraksi di halaman sendiri bakal memberikan mereka kelebihan berbanding pelumba-pelumba lain. Rakan sepasukan Syawalludin, Mohd Haiekal Akmal Zakaria merupakan satu-satunya pelumba dalam pasukan ini yang bukan berasal dari Terengganu.

"Pelbagai kesulitan terpaksa kami hadapi pada dua pusingan lalu. Kebanyakan masalah ini menyentuk aspek teknikal jentera dan ini sekaligus membawa impak pada pelumba. Ekoran itu, Syawal dan Haiekal tidak dapat menamatkan perlumbaan kategori CP115 di Batu Kawan- keputusan yang kurang memberangsangkan berbanding keputusan mereka pada pusingan pembuka musim di Kangar.di mana mereka berjaya muncul di kalangan lima pelumba terbaik. Walau bagaimanapun, kami telah pun mengenal pasti punca masalah tersebut dan kami berharap para pelumba boleh  menainki podium minggu hadapan.

Tambahnya lagi, "Selain Haiekal, kesemua pelumba kami berasal dari Terengganu. Mereka berasa lebih yakin dan begitu bersemangat memandangkan keluarga dan rakan-rakan akan hadir untuk memberikan sokongan," katanya.

Ketika ini Syawalludin dan Haiekal berada di kedudukan ke-10 dan ke-11 dalam kedudukan keseluruhan kategori CP115 dengan 13 dan 11 mata masing-masing manakala Che Ku Amriq dan Afif berada di kedudukan ketujuh dan ke-17 dengan pungutan 13 dan enam mata bagi kategori Wira.

Apabila ditanya pelumba mana berpeluang cerah untuk mencuri podium minggu hadapan, Azmi memberikan respon dan berkata, "Pada waktu ini Afif merupakan pelumba terbaik kami. Prestasinya semakin meningkat pada setiap sesi latihan dan dia telah menimba pengalaman berharga bersaing bersama-sama para-pelumba peringkat Asia dalam Kejuaraan Motosikal Asia PETRONAS (ARRC) minggu lalu.Kami turut berharap Haiekal yang menyertai kategori sama akan turut menyerlah di Terengganu.

Pada masa sama, Azmi turut berharap agar keempat-empat pelumba tidak berasa terlalu yakin memandangkan perlumbaan selepas ini pastinya lebih tegang di atas litar yang cukup teknikal tersebut.

"Syawal, Haiekal, Afif dan Che Ku Amriq perlu memberi sepenuh tumpuan minggu depan kerana bukan hanya mereka bertiga yang mempunyai kelebihan beraksi di gelanggang sendiri. 

"Selain itu, Pusingan 3 ini merupakan perlumbaan berbentuk teknikal dan hanya pelumba yang mempunyai kemahiran serta daya tumpuan tinggi untuk menempatkan diri di kelompok hadapan jadi mereka perlu lebih bersedia," jelas Azmi.

Antara pelumba-pelumba Terengganu lain yang inginkan kedudukan podium termasuklah Mohd Rozaliman Zakaria (ZAR Racing Motorsports) dan Tengku Amirul Haffiruddin (PETRONAS Syntium Moto Yamaha Raceline).

Wednesday 27 April 2011

Raceline Bergandingan Bahu Dengan Pasukan Australia


PASUKAN PETRONAS Syntium Moto Raceline mengambil pendekatan berbeza bagi menghadapi saingan Kejuaraan Motosikal Asia PETRONAS (ARRC) yang akan membuka tirainya di Litar Sepang Antarabangsa (Litar Utara) pada 29 April hingga 1 Mei ini.
Pengurus pasukan, Barry Leong akan mempertaruhkan gandingan dua pelumba junior, Hafizh Syahrin Abdullah dan pelumba Australia, Michael Jones untuk membawa cabaran di dalam kategori SuperSports 600cc.
Gandingan kedua-dua pelumba berusia 17 tahun ini adalah hasil kerjasama program pertukaran dan kedua-duanya akan bergandingan di dalam satu pasukan dan saling berkongsi pengetahuan serta pengalaman mereka untuk mencapai keputusan yang lebih cemerlang.
Melalui program kerjasama ini Hafizh berpeluang untuk menerima pendedahan di peringkat antarabangsa dengan menyertai Kejuaraan Australian Formula Xtreme dan sebaliknya Mike pula berpeluang menimba pengalaman di pentas PETRONAS ARRC.
“Memandangkan Hafizh berbakat besar dan usianya masih muda, tujuan program penukaran ini adalah untuk terus meningkatkan kemahiran Hafizh terhadap jentera 600cc.
"Masih banyak aspek yang perlu dia pelajari tetapi untuk menghantar dia beraksi bersendirian di luar negara membelanjakan kos yang amat tinggi.
"Oleh itu, kami memilih untuk bekerjasama denganrakan kami di Australia di mana mereka turut mempunyai objektif yang sama untuk Mike.
“Melalui jalinan kerjasama ini, kedua-dua pelumba dapat berkongsi pengetahuan yand dapat membantu perkembangan karier masing-masing. Saya serta mekanik-mekanik kami juga turut berpeluang menerima pendedahan yang serupa,” katanya.
Tambah Barry lagi, kerjasama ini tidak hanya memberi peluang kepada pelumba dan kru menimba lebih banyak pengetahuan malah ia turut dapat membantu pasukan untuk menguruskan kewangan dengan lebih baik.
“Kami akan menanggung kos perlumbaan secara bersama. Jika di ARRC, pihak kami akan menanggung kos-kos sepert lojistik, jentera, dan alat ganti namun apabila kami ke Australia untuk menyertai Kejuaraan FX, mereka pula akan menanggung kos-kos tersebut," katanya.
Menilai tentang kemampuan tahun kedua Hafizh menunggang jentera Yamaha YZF-R6, Barry menjelaskan, “Susah untuk menilainya memandangkan perlumbaan pertama hanya akan mula minggu ini, namun saya percaya Hafizh mampu menempatkan diri di kalangan enam pelumba terbaik.
“Sasaran ini adalah realistik kerana bilangan pelumba-pelumba berpengalaman dan muka-muka baru adalah seimbang.
"Bagi Mike pula, walaupun mempunyai banyak pengalaman dalam pertandingan yang lebih kompetitif namun ini aksi pertamanya di ARRC, jadi kami perlu tunggu dan lihat apa yang akan berlaku hujung minggu ini,” jelas Barry

Saturday 23 April 2011

FUAD UNDUR DIRI,BAGI PELUANG KEPADA PELUMBA MUDA




Fuad akan terus terlibat dalam sukan pemotoran walaupun tidak lagi beraksi pada ARRC
PEMINAT-peminat sukan pemotoran tanah air pastinya akan merindui aksi pelumba veteran, Ahmad Fuad Baharudin yang mengambil keputusan untuk tidak beraksi dalam kategori SuperSports 600cc pada Kejuaraan Motosikal Asia PETRONAS 2011 (ARRC) membuka tirainya musim ini di Litar Antarabangsa Sepang (Litar Utara) pada 29 April hingga 1 Mei ini.
Fuad yang telah beraksi selama 10 tahun di saingan SuperSports 600cc percaya sekarang merupakan masa terbaik untuk mengundurkan diri dari ARRC. Dia mahu memberi ruang kepada pelumba-pelumba muda yang berbakat untuk beraksi dalam saingan SuperSports 600cc.
“Saya masih belum bersara dari perlumbaan SuperSports 600cc memandangkan saya masih berminat untuk terus beraksi di kategori ini. Cuma bukan di pentas ARRC kerana saya lihat kehadiran ramai pelumba muda yang berpotensi besar.
"Dengan ini, saya berharap pengunduran saya ini akan memberi manfaat kepada pelumba yang bakal mengambil alih tempat saya,” katanya dalam satu kenyataan, Jumaat.
“Selain itu, bekas rakan sepasukan saya di PETRONAS Yamaha Malaysia, Mohd Zamri Baba dan Azlan Shah Kamaruzaman beraksi dengan begitu baik dalam kategori ini. Kini mereka tidak lagi bergantung kepada saya untuk membantu dan memberi tunjuk ajar.
"Apa yang boleh saya katakan, saya berbangga dengan pencapaian mereka dan berharap keputusan mereka selepas ini akan terus membanggakan rakyat Malaysia.
“Saya telah menjalankan tanggungjawab saya dengan berkongsi segala pengalaman dan pengetahuan bersama-sama Azlan dan Zamri, jadi kini tanggungjawab sepenuhnya terletak di bahu mereka untuk membimbing pelumba-pelumba baru,” katanya.
Sementara itu Fuad,32, berkata, buat masa ini pihaknya sedang berbincang dengan Hong Leong Yamaha Motor Sdn Bhd untuk penajaan menyertai Malaysia Super Series (MSS).
"Masih belum ada sebarang keputusan setakat ini tetapi semoga semuanya berjalan dengan lancar. Apapun yang berlaku, saya akan terus berusaha untuk terus beraksi dalam perlumbaan SuperSports 600cc," katanya.
Fuad memulakan karier antarabangsanya pada tahun 2000 dengan menyertai kategori GP125 dan mula mengambil bahagian dalam SuperSports 600cc pada tahun berikutnya.

Friday 22 April 2011

Fazli Sham Tawan Batu Kawan

FAZLI SHAM PENUH GAYA DI BATU KAWAN



Pelumba veteran, Ahmad Fazli Sham kembali mempamerkan kehebatannya apabila muncul juara Pusingan 2 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS yang berlangsung di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang.

Pelumba berusia 29 tahun yang beralih arah dari Yamaha Maju Motor Racing ke Pennzoil Fastrac Racing bermula dengan begitu pantas sekaligus mendahului, Mohd Zamri Baba (PETRONAS Syntium Moto Yamaha AHM) yang bermula dari pole.

Walaupun pada satu ketika Zamri berjaya memotongnya, cukup jelas jentera Fazli jauh lebih pantas, Dengan mudah Fazli kembali berada di hadapan dan mula meninggalkan pencabarnya itu. Sejurus itu, Mohd Affendi Rosli (Harian Metro TEQ SCK Honda Racing) juga mula mencabar Zamri manakala Fazli selesa meninggalkan pencabar-pencabarnya.

Nasib Zamri bertambah malang apabila gagal mengawal jentera Yamahanya dan terjatuh pada pusingan 6. Walaupun dia meneruskan perlumbaan, Zamri sekadar beraksi sehingga pusingan yang ke-11 sahaja. 

Fazli menamatkan perlumbaan 15 lap tersebut dengan catatan masa keseluruhan 14:03.519s- 8.767s di hadapan Affendi. Namun begitu, Affendi terpaksa berpuas hati di tangga kelapan setelah dikenakan penalti 30 saat akibat kesalahan jump-start di awal perlumbaan.

Keputusan itu sekaligus meletakkan Abdul Muhaimin Roslan (Yamaha Maju Motor Racing) berada di kedudukan kedua manakala rakan sepasukannya, Ahmad Fuad Baharudin di tempat yang ketiga. Kedua-dua pelumba ini menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 14:12.286s dan 14:13.400s masing-masing.

Berpuas hati dengan kejayaan pertama musim ini, Fazli yang memenangi kategori Expert pada tahun 2007 dan 2008 berkata, "Pertama sekali saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pasukan dan penaja yang banyak membantu kepada kemenangan saya hari ini. Tanpa sokongan mereka, sudah tentu sukar untuk mencapai kejayaan ini."

Tambah Fazli lagi, "Perlumbaan hari ini sangat mencabar memandangkan Zamri sentiasa mengekori saya dengan rapat namun keadaan jentera yang begitu memuaskan pada hari ini banyak memberikan kelebihan. Namun, saya terus mencuba sedaya upaya sehinggalah menyedari kedudukan saya jauh di hadapan pelumba lain, barulah saya sekadar mengekalkan momentum ketika itu sehingga melintasi garisan penamat.

"Tidak dapat saya gambarkan betapa gembiranya saya apatah lagi pasukan kami masih baru namun sudah berjaya mencatat kemenangan seperti ini. Saya harap kami dapat mengekalkan rentak sebegini di pusingan-pusingan akan datang.

Selain Affendi, rakan sepasukannya, Azlan Shah Kamaruzaman turut dikenakan penalti atas kesalahan yang sama. Sementara itu, Mohd Ramdan Mohd Rosli (PETRONAS Syntium Moto Yamaha AHM) menarik diri daripada perlumbaan disebabkan mengalami kecederaan pada kakinya.

Kemenangan ini membolehkan Fazli mendahului kedudukan keseluruhan CP130 dengan 33 mata manakala Muhaimin kedua, 31 mata dan Mohd Zaqhwan Zaidi (Pachie Yuzy Honda Racing) ketiga dengan 26 mata.

Pasukan Maju Motor Yamaha Racing yang diketuai oleh Yong Yin Hoe mendahului kedudukan keseluruhan berpasukan dengan mengumpul 47 mata diikuti Pachie Yuzy Honda Racing dengan 46 mata dan PETRONAS Syntium Moto Yamaha AHM ketiga, 45 mata. 


Sementara itu, kelebihan beraksi di gelanggang sendiri memberikan kelebihan buat Zaidy Mohd Zaifaizal (Motul Yamaha YY Pang Racing), untuk muncul juara CP115 menewaskan Ahmad Abdul Kadir (APIDO Yamaha Boon Kui Racing) dan Mohd Hafieenaz Mohd Ali (PETRONAS Syntium Moto Yamaha AHM).

Zaidy mendahului perlumbaan dari lap pertama dan menamatkan perlumbaan 12 lap itu dengan catatan 11:30.736s manakala pelumba yang berasal dari Sarawak, Ahmad di tempat kedua dengan 11:31.300s manakala Hafieenaz, 11:32.125s. 

"Kemenangan hari ini sangat bermakna kerana ia merupakan kejayaan pertama saya di Batu Kawan sepanjang karier perlumbaan saya. Saya sangat berpuas hati kerana tidak menghampakan keluarga dan rakan-rakan yang datang untuk memberikan sokongan. Perlumbaan hari ini sangat sukar. Ahmad sentiasa memberikan tekanan kepada saya, walaupun cuba untuk menjarakkan diri darinya, saya tetap gagal. Saya hanya cuba mengekalkan momentum saya ketika itu sehingga ke garisan penamat," jelas Zaidy yang berasal dari Batu Feringghi, Pulau Pinang.

Selain kemenangan di Batu kawan, kedudukan ketiga di Kangar bulan lepas kini meletakkan Zaidy mendahului carta keseluruhan  CP115 dengan 41 mata. Dibezakan dengan enam mata, Shahril Izzuwan Mohd Noor (PETRONAS Syntium Moto Yamaha AHM) yang muncul perlumbaan di tempat keenam hari ini berada di kedudukan kedua dengan 35 mata sementara rakan sepasukan Zaidy, Mohd Adli Salihin menghuni tangga ketiga dengan 31 mata.

Pasukan PETRONAS Syntium Moto Yamaha AHM yang diwakili Shahril dan Hafieenaz mendahului kedudukan berpasukan keseluruhan dengan 51 mata diikuti Motul Yamaha YY Pang Racing dengan 50 mata dan APIDO Yamaha Boon Kui Racing, yang mengumpul 39 mata di tangga ketiga.


Sementara itu, Juara Wira 2010, Mohd Adib Rosley (Motul Yamaha YY Pang Racing) gagal menggunakan kelebihan petak hadapan untuk menjejakkan kaki di podium setelah mengalami perlanggaran dengan pendahulu ketika itu, Mohd Solehin Sukor (Honda Promax X-Dot Honda Racing) selepas tiga pusingan. Kelebihan ini digunakan sepenuhnya Zulsyafiz Rosli (MOS Malaysia Racing) yang berada di kedudukan ketiga ketika itu untuk merealisasikan hasratnya meraih kejuaraan pertamanya.

Namun, kemenangan Zulsyafiz bukanlah mudah memandangkan rakan sepasukan Adib, Nurahmad Fariznazreen sentiasa memberikan cabaran sengit sehingga kedua-dua pelumba mengatasi garisan penamat. Zulsyafiz menamatkan perlumbaan dengan catatan 9:47.318s manakala pencabarnya mencatatkan 9:48.056s. Mohd Izzat Zaidi Mohd Salehan ketiga dengan 9:53.290s.

Gembira dengan kemenangan pertama, Zulsyafiz menjelaskan, "Saya sangat gembira kerana menang perlumbaan hari ini. Pada mulanya saya rasa ia agak mustahil memandangkan Adib dan Solehin begitu pantas. Kemalangan yang menimpa kedua-dua pelumba itu memberikan kelebihan kepada saya untuk berada di hadapan dan terus mengekalkan kedudukan sehingga ke garisan tamat," kata pelumba berusia 16 tahun itu.

Ketika ini Zulsyafiz sedang mendahului kedudukan keseluruhan dengan 41 mata diikuti Nurahmad, 40 mata dan Izzat di kedudukan ketiga dengan 26 mata.


Dalam Cabaran Honda Wave Junior pula, Mohd Rabilfirli Azmin yang gagal menamatkan perlumbaan di Kangar, bulan lepas muncul juara dengan catatan 10:29.251s menewaskan Mohd Zulfakri Rosli di tempat kedua dengan catatan 10:33.068s manakala Mohd Arif Abd Rahman ketiga dengan 10:33.572s.

Bagaimanapun, Mohd Arif mendahului kedudukan keseluruhan dengan 41 mata, satu mata di hadapan Zulfakri yang berada di kedudukan kedua dengan 40 mata manakala Mohd Fitri Sukor ketiga dengan 26 mata.



Saingan kategori Persendirian menyaksikan Wazir Abd Razak mencatat kemenangan kedua berturut-turut musim ini apabila sekali lagi menewaskan naib juara di Kangar, bulan lepas, Mohd Fhahmin Abd Mutalib.

Wazir melintasi garisan penamat dengan catatan 10:08.324s manakala Fhahmin mencatatkan 10:13.090s. Berada di kedudukan ketiga adalah Zulfaqar Mohd Salleh yang mencatatkan 10:20.714s.

Kemenangan berganda ini meletakkan Wazir di hadapan kedudukan keseluruhan setelah mengumpul 50 mata penuh manakala Fhahmin kedua dengan 40 mata. Zulfaqar di tangga ketiga dengan 16 mata. 

Pusingan 3 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2011 akan berlangsung di Kuala Terengganu pada 13 dan 14 Mei depan.